| 1 | Demi angin yang menerbang dan menaburkan (debu, biji-bijian benih dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguh-sungguhnya;
| |
| |
| 2 | Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki);
| |
| |
| 3 | Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya;
| |
| |
| 4 | Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya;
| |
| |
| 5 | (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar;
| |
| |
| 6 | Dan bahawa sesungguhnya balasan amal, tetap berlaku.
| |
| |
| 7 | Demi langit yang mempunyai jalan-jalan yang berbagai bentuk keadaannya,
| |
| |
| 8 | Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan berlainan pendapat (mengenai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w).
| |
| |
| 9 | Dipalingkan daripada (perselisihan) itu orang-orang yang telah dipalingkan Allah (dengan sebab keikhlasannya mencari kebenaran).
| |
| |
| 10 | Binasalah orang-orang yang sentiasa mengeluarkan pendapat dengan cara agak-agak sahaja,
| |
| |
| 11 | (Iaitu) orang-orang yang tenggelam alam kejahilan, serta lalaikan (hari pembalasan).
| |
| |
| 12 | Mereka bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari pembalasan itu?
| |
| |
| 13 | (Jawabnya: Hari itu ialah) hari mereka diseksa (dengan dibakar) atas api Neraka, -
| |
| |
| 14 | (Sambil dikatakan kepada mereka): Rasalah azab seksa yang disediakan untuk kamu; inilah dia yang dahulu kamu minta disegerakan kedatangannya.
| |
| |
| 15 | Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.
| |
| |
| 16 | (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.
| |
| |
| 17 | Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur.
| |
| |
| 18 | Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).
| |
| |
| 19 | Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
| |
| |
| 20 | Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,
| |
| |
| 21 | Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?
| |
| |
| 22 | Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.
| |
| |
| 23 | Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya (apa yang tersebut) itu tetap benar, (tidak patut diragu-ragukan) sebagaimana (tidak sepatutnya diragukan) benarnya kamu dapat berkata-kata.
| |
| |
| 24 | Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?
| |
| |
| 25 | Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: Salam sejahtera kepadamu! Dia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! (Sambil berkata dalam hati): Mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.
| |
| |
| 26 | Kemudian dia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).
| |
| |
| 27 | Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: Silalah makan.
| |
| |
| 28 | (Setelah dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu), maka dia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim). Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan.
| |
| |
| 29 | (Mendengarkan berita yang menggembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?
| |
| |
| 30 | Mereka berkata: Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
| |
| |
| 31 | Nabi Ibrahim bertanya: (Selain dari itu) apa lagi tugas penting kamu wahai utusan Tuhan?
| |
| |
| 32 | Mereka menjawab: Sesungguhnya Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka);
| |
| |
| 33 | Supaya Kami menimpakan mereka dengan batu-batu dari tanah (yang dibakar),
| |
| |
| 34 | Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu, untuk membinasakan orang-orang yang melampaui batas (dalam keingkarannya).
| |
| |
| 35 | (Setelah sampai utusan Kami ke tempat itu), Kami (perintahkan mereka) mengeluarkan orang-orang yang beriman yang tinggal di situ.
| |
| |
| 36 | (Sesudah dipereksa) maka (utusan) Kami tidak mendapati di situ melainkan sebuah rumah sahaja yang ada penduduknya dari orang-orang Islam (yang beriman kepada Nabi Lut).
| |
| |
| 37 | Dan Kami tinggalkan di negeri itu (timbunan batu-batu yang telah menghujani dan membinasakan mereka), sebagai tanda (yang mendatangkan keinsafan) bagi orang-orang yang sedia takut kepada azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
| |
| |
| 38 | Dan juga pada (kisah) Nabi Musa (terdapat dalil-dalil yang memberi keinsafan), ketika kami mengutusnya kepada Firaun dengan membawa mukjizat yang nyata.
| |
| |
| 39 | Maka Firaun berpaling ingkar dengan berdasarkan kekuasaannya sambil berkata: (Musa itu) adalah seorang ahli sihir atau seorang gila!
| |
| |
| 40 | Lalu Kami (adakan jalan) mengambil Firaun bersama-sama tenteranya, kemudian Kami humbankan mereka ke dalam laut, sedang dia berkeadaan tercela.
| |
| |
| 41 | Dan juga pada (kisah) kaum Aad (terdapat perkara-perkara yang menjadi iktibar), ketika kami hantarkan kepada mereka angin ribut yang tidak mengandungi sebarang kebaikan;
| |
| |
| 42 | Angin itu tidak meninggalkan sesuatupun yang dirempuhnya, melainkan menjadikannya (hancur) seperti debu.
| |
| |
| 43 | Dan juga pada (kisah) kaum Thamud (terdapat perkara-perkara yang menjadi pelajaran) ketika dikatakan kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu hingga ke suatu waktu (yang termaklum)!
| |
| |
| 44 | Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan diri), sedang mereka melihatnya.
| |
| |
| 45 | Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi dan mereka juga tidak mendapat pertolongan.
| |
| |
| 46 | Dan kaum Nuh (Kami juga telah binasakan) sebelum itu; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik (derhaka).
| |
| |
| 47 | Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi) dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.
| |
| |
| 48 | Dan bumi pula Kami hamparkan (untuk kemudahan kamu mendiaminya); maka Kamilah sebaik-baik yang menghamparkannya.
| |
| |
| 49 | Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kami dan mengingati (kekuasaan kami dan mentauhidkan Kami).
| |
| |
| 50 | (Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka): Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.
| |
| |
| 51 | Dan janganlah kamu adakan tuhan yang lain bersama Allah (dalam kepercayaan kamu), sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu sebagai pemberi amaran yang nyata.
| |
| |
| 52 | Demikianlah (keadaan tiap-tiap kaum terhadap Rasulnya samalah seperti keadaan kaummu wahai Muhammad) tidak ada seorang Rasul pun yang datang kepada kaum-kaum yang terdahulu dari mereka, melainkan ada yang berkata: Dia adalah seorang ahli sihir atau seorang gila.
| |
| |
| 53 | Adakah mereka semua telah berpesan-pesan (dan mencapai kata sepakat) untuk melemparkan tuduhan itu ? (Sudah tentu mereka tidak dapat berbuat demikian), bahkan mereka semuanya adalah kaum yang melampaui batas (dalam keingkarannya).
| |
| |
| 54 | Oleh itu, berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka (yang menentangmu itu dan janganlah dihiraukan), kerana engkau tidak akan disalahkan (setelah engkau memberi amaran kepada mereka).
| |
| |
| 55 | Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.
| |
| |
| 56 | Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
| |
| |
| 57 | Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.
| |
| |
| 58 | Sesungguhnya Allah Dialah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dialah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.
| |
| |
| 59 | (Setelah ternyata hakikat yang demikian), maka sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim (yang menentang ajaran Nabi Muhammad) itu ada bahagiannya (dari azab seksa) seperti bahagian rakan-rakan mereka (kaum kafir yang telah lalu). Oleh itu, janganlah mereka meminta kepadaKu menyegerakan kedatangannya.
| |
| |
| 60 | Maka kecelakaan dan kebinasaanlah bagi orang-orang yang kafir pada hari yang telah dijanjikan kepada mereka.
| |
| |